Kemajuan Siak Sultan_Assaidis_Asyarif_Ali_Abdul_Jalil_Syaifuddin_Baalawi

Baginda merupakan Sultan Siak yang pertama yang mempunyai darah kacukan Arab dan bergelar Sayed Syarif. Pada pemerintahan Sultan VII inilah Kerajaan Siak mencapai puncak kejayaannya.

Pusat pemerintahan dipindahkan dari Mempura ke seberang sungai iaitu Kota Tinggi yang kelak dikenal dengan bandar Siak Sri Inderapura. Di ibu negara baru ini dibina benteng sebagai persiapan menghadapi segala kemungkinan dengan Belanda.[3]

Pengembangan Wilayah

Selepas merasa kuat, beliau merancang untuk memperluaskan wilayah Siak. Kemudian berlakulah penaklukan terhadap wilayah-wilayah di pantai timur Sumatra yang dikenali dengan jajahan 12 meliputi: Kota Pinang, Pagarawan, Batubara, Bedagai, Kualuh, Panai, Bilah, Asahan, Serdang, Langkat, Temiang, dan Deli. Selain itu beliau juga berjaya mengembalikan Kubu, Bangko dan [Tanah Putih ke dalam kuasa Siak sebagaimana pada masa Raja Kecil. Kemudian persekutuan Tapung Kiri dan Tapung Kanan memilih berdamai dan mengakui kedaulatan Sultan Siak kerana tidak mungkin bagi mereka untuk menandingi keunggulan Siak.[4]

Di samping itu, Sultan Syarif Ali juga mengetuai serangan ke atas Kesultanan Sambas di Kalimantan Barat dan berjaya menaklukkan ibu kota tetapi tidak untuk masa yang lama. Sebagai bukti penaklukan, di Sambas kini masih terdapat sebuah kampung bernama Kampung Siak. Selain itu, di Siak ada barang yang dibawa dari Sambas seperti piring, senjata dan lain-lain. Didapati juga bahawa ada persamaan antara Tenunan Siak dengan Sambas. Semenjak itu, Sambas membayar ufti tahunan kepada Siak berupa bunga perak.[5]Selepas pulang dari Sambas, armada Siak dikerahkan untuk menyerang Kesultanan Pelalawan. Adiknya, Panglima Besar Sayid Abdurrahman ditabalkan sebagai sultan di sana disamping sebagai Raja Muda di Siak. Adiknya yang lain Sayyid Ahmad diangkat sebagai panglima besar berkedudukan di Tebing Tinggi untuk menguasai daerah-daerah sekitarnya, selanjutnya ia dikenali dengan Tengku Panglima Besar Tebing Tinggi.[6]